Latar Belakang Calon : MOHD NAUFAL B MOHD TARMIZI

Tuesday, February 15, 2011

Beliau merupakan Mahasiswa APIUM Tahun 3 dari Jabatan Syariah & Undang-Undang. Berasal dari Slim River, Perak dan merupakan anak sulong dari tujuh adik-beradik. Beliau dilahirkan semasa ibubapanya melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar iaitu di Kaherah, Mesir. Kemudian beliau dibesarkan di Kedah selama 7 tahun dan di Perak selama 15 tahun. Keluarga beliau mempunyai kaitan nasab atau keturunan Raja Jembal ( bertemu nasab dengan Tuan  Guru Nik Abdul Aziz dan Tengku Razaleigh) dan beliau merupakan anak saudara ipar Allahyarham Fadzil Noor. Bapanya bekerja sebagai seorang Pendakwah Bebas yang mempunyai tauliah mengajar di Perak dan Selangor dan bekas Penasihat Agama kepada DS Nizar Jamaluddin semasa menjadi MB Perak. Manakala ibunya pula bekerja sebagai guru di sekolah agama rakyat iaitu Maahad Abbasiah Sungkai, Perak. Selain dirinya yang melanjutkan pelajaran di UM, salah seorang adik perempuannya sudah menjengah ke alam universiti iaitu melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan di Universiti al-Azhar asy-Syarif. Beliau juga merupakan pemegang bantuan biasiswa JPA.

Latar Pendidkan

Beliau menerima pendidikan awal di PASTI Slim River sebelum memasuki alam persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Slim River. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di sebuah sekolah agama arab kerajaan negeri Kedah iaitu Maktab Mahmud Alor Star dari tahun 2001 sehingga awal tahun 2006. Di Maktab Mahmud Alor Star, beliau mengambil peperiksaan awam PMR dan SPM. Bahkan sempat mengikuti pengajian di peringkat STAM pada tahun 2006 di Maktab Mahmud Alor Star. Semasa di Maktab Mahmud Alor Star, beliau dikenali dengan bakat kepimpinan, lakonan dan nasyid. Bahkan beliau juga merupakan pengasas kepada Kelab Debat Maktab Mahmud pada tahun 2006 dan memegang jawatan selaku Setiausaha Kehormat pertama bagi Kelab Debat Maktab Mahmud. Semasa itu, kerajaan negeri pada waktu itu telah membuka cawangan Maktab Mahmud kepada 12 cawangan (asalnya sekolah pondok) di sekitar Kedah. Atas dasar menyatukan kedua-dua belas cawangan dengan Makatab Mahmud Induk (yakni di Alor Star), beliau dan rakan-rakan yang lain telah mengusulkan kepada Pengetua untuk menganjurkan Festival Debat Antara Maktab Mahmud. Bahkan beliau juga dilantik sebagai Pengarah bagi projek tersebut. Pada tahun dan sekolah yang sama juga, beliau ditaklifkan untuk menjadi Pengerusi Kelab Kebersihan dan Keceriaan Maktab Mahmud Alor Star yang bertanggungjawab menambah tanaman pokok hiasan di sekitar kawasan sekolah yang luasnya ibarat seluas kolej kediaman di UM. Hasilnya adalah sebagaimana yang boleh dilihat di Maktab Mahmud Alor Star kini.

Tidak lama selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat STPM di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) di Klang, Selangor. Beliau dilantik menjadi Pemangku Ketua Umum di sekolah tersebut. Terdapat juga beberapa jawatan penting yang dipegangnya seperti Exco Biro Tamrin Badan Dakwah & Rohani (BADAR-tahun 2006) dan juga Pengerusi Pengakap (2006-2007). Bahkan pada tahun 2007, beliau dianugerahkan sebagai Ketua Rumah Sukan(Ketua Pelajar) Terbaik bagi keseluruhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Zon Tengah oleh Kementerian Pelajaran. Pada awal tahun 2008, beliau dianugerahkan hadiah kecemerlangan akademik atas keputusan cemerlangnya dalam STPM dan juga MUET.

Latar Penglibatan Aktiviti

Bagi kami, antara tugasan yang menyerlahkan kepimpinan beliau di Universiti adalah sebagai Ketua Unit Protokol FESKUM 2009. Ini kerana unit protokol hanya fokus kepada perasmian FESKUM 2009 yang  bertemakan "Keilmuan Disanjung, Kecemerlangan Dijunjung". Beliau merupakan tenaga kerja penting dalam menjayakan perasmian FESKUM 2009 sehingga dikatakan "The Best FESKUM Ever" oleh Naib Canselor dan Pro-Canselor. Antara skop tugasan yang dilakukannya adalah penyediaan teks ucapan, teks MC, jemputan dan kehadiran VVIP dan VIP, protokol majlis, memastikan MC dan majlis menepati ekspektasi pihak International Corporate Relation (ICR) dan pelbagai lagi. (sila klik untuk melihat gambar organisasi FESKUM 2009 di sebelah kanan blog tersebut).

Beliau juga merupakan pengasas kepada Kem Motivasi dari Remaja Untuk Remaja atau lebih dikenali Misi Tawan Sukses (MITASES). Kem ini telah menjalankan aktivitinya di Kedah (Maktab Mahmud Pendang) dan di Johor (Sekolah Menengah Tun Hussein Onn, Kluang) yang memfokuskan kepada cara pembelajaran bagi calon PMR, SPM dan STPM. Kini ia diteruskan oleh seorang lagi rakannya yang menuntut di UKM bagi memberi laluan kepada keutamaan akademik di UM.

Beliau juga pernah menjalankan latihan industri di Brunei Darussalam di salah sebuah firma guaman terkenal di negara tersebut iaitu Daud Ismail & Company. Bahkan beliau telah ditawarkan untuk berkerja di firma tersebut jika berjaya mendapatkan sijil amalan guaman. Semasa di Brunei Darussalam, beliau talah diberi peluang untuk menguruskan taklimat berkenaan dengan kehartaan dan wasiat Islam di hadapan anggota tentera Brunei Darussalam. Dan taklimat itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan anggota tentera tersebut.

Antara pencapaian dan penglibatannya yang lain adalah :

1) Tempat Kelima, Pertandingan Moot Peringkat Kebangsaan (Pertandingan Penghujahan Guaman)
2) Jurulatih forum di Maahad Abbasiah Sungkai, Perak.
3) Terlibat dalam aktiviti pengacaraan  dalam beberapa majlis-majlis rasmi seperti Pengerusi Majlis MoU  Antara Koridor Utara dan Hannan Holdings di Ipoh, forum-forum di UM & UKM.
4) Anugerah Dekan APIUM 2010
5) Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Teater Universiti Malaya 2011.
6) Pengarah Pertandingan Bubur Asyura KK12 2010
7) Anugerah Siswa Aktif KK8 2008/2009
8) Anugerah Seni Harapan (Drama) KK8 2008/2009
9) Anugerah Tokoh Akademik KK8 2008/2009
10) Tercalon sebagai Pelakon Pembanu Lelaki Terbaik, Karnivel Teater UM 2010
11) Peserta Program Latihan Luar-Modul PGA, Pusat Latihan Pasukan Gerakan AM 2010
12) Fasilitator Bengkel Latihan Kejurulatihan TOT anjuran LPPKN 2010
13) Anggota Kor SUKSIS Universiti Malaya
14) Jawatankuasa Teknikal FESENI KK12 2011

    -Tamat-
    Takbir!!! Nafas Baru!!! Takbir!!!

    AYUH KEMBALIKAN RENTAK API DI PERSADA VARSITI

    0 comments: